Friday, June 30, 2017

Yesus Menyembuhkan 10 Orang Penyakit Kulit

Bacaan Injil:
11 Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui sempadan Samaria dan Galilea. 12 Apabila Dia memasuki sebuah pekan, sepuluh orang berpenyakit kulit yang mengerikan datang menjumpai Dia. Mereka berdiri dari jauh 13 dan berseru, “Yesus! Tuan! Kasihanilah kami!” 14 Yesus melihat mereka lalu berkata, “Pergilah dan mintalah imam mengesahkan kesembuhan kamu.” Dalam perjalanan ke sana mereka sembuh. 15 Ketika seorang daripada mereka sedar bahwa dia sudah sembuh, dia berpatah balik sambil memuji Allah dengan suara yang kuat. 16 Dia sujud di hadapan Yesus dan mengucapkan terima kasih kepada-Nya. Orang itu orang Samaria. 17 Yesus berkata, “Bukankah sepuluh orang yang disembuhkan? Di manakah yang sembilan lagi? 18 Mengapakah orang bangsa asing ini sahaja yang kembali untuk bersyukur kepada Allah?” 19 Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Bangunlah dan pergilah, kamu sembuh kerana lamu percaya kepada-Ku.” (Lukas 17:11-19)

Khutbah:
Bekas presiden Amerika Syarikat Barrack Obama melawat ke Malaysia pada tahun 2015. Rakyat serata negara menumpukan perhatian kepadanya, kerajaan kita membekalkan sekuriti yang ketat untuknya, sebab Obama merupakan seorang pemimpin negara yang terpengaruh di dunia ini. Amerika Syarikat bukan sahaja satu negara yang besar, kuat dan canggih, tetapi ia juga satu negara yang penuh dengan peristiwa yang ganjil dan pelik!

Saya masih ingat beberapa tahun yang lepas, ada seorang jutawan negara itu membela dua ekor anjing, satu jantan dan satu betina. Pada suatu hari, orang kaya ini mempunyai fikiran yang ganjil, dia mengahwinkan kedua-dua ekor anjingnya dengan satu acara yang luarbiasa. Dia pesan tukang jahit menyediakan pakaian pengantin untuk anjingnya, menjemput seorang MC untuk melancarkan acara perkahwinan dan menjemput kumpulan muzik untuk memeriahkan suasana hari perkahwinan anjingnya.

Apabila tiba masanya, jutawan mengajak semua kawannya menghadiri majlis perkahwinan. Semua orang menyaksikan dua ekor anjing bertukar cincin sebagai tanda cinta selama-lamanya. Selepas upacara disempurnakan, semua tetamau dijemput menghadiri kenduri. Untuk maklumat kamu, jutawan ini belanja US$30,000 (Wang Amerika) untuk perkahwinan anjingnya. Jika US$30,000 ditukarkan kepada Ringgit Malaysia,ia adalah satu jumlah yang besar, yang cukup untuk perbelanjaan saya selama tiga tahun.

Mungkin kita akan tanya macam mana jutawan ini bazir wang untuk perkahwinan binatang dan untuk bukan untuk perkahwinan manusia. Di Amerika, ramai orang suka membela anjing sebagai teman yang setia. Bagi mereka, anjing lebih baik daripada manusia. Saya masih ingat ada seorng ibu maki anaknya begini, “Lebih baik saya bela seekor anjing daripada awak!” Ini memang satu kenyataan yang mendukakan hati ibu itu, kerana anaknya bersifat degil dan enggan mendengar nasihatnya. Ini menunjukkan betapa kecewanya hati seorang ibu!

Jarang sekali kita bandingkan anak kita dengan seekor anjing, ini memang satu perumpamaan yang tidak seimbang. Akan tetapi, sebagai seorang manusia, kalau kita tidak tahu berterima kasih kepada ibu bapa yang sudi korban untuk keluarga, kelakuaan kita adalah lebih teruk daripada seekor anjing. Walaupun anjing adalah haiwan, ia tidak boleh cakap seperti manisia, ia tidak boleh senyum, ia tidak boleh respon seperti kita. Tetapi apabila kamu berikan makanan kepada anjing, ia akan goyangkan ekornya tidak terhenti-henti. Ini adalah satu isyarat ataupun bahasa anjing, dengan menggoyangkan ekornya, anjing seakan-akan berkata kepada kita: “Terima Kasih”, “Thank You” “Arikata!” Ini adalah cara anjing bercakap terima kasih kepada tuannya.   

Dari bacaan Injil tadi, kita dapat tahu ada orang yang tidak tahu mengucap shukur ataupun berterima kasih atas berkat yang diberikan oleh Tuhan Bapa. Yesus telah menyembuhkan 10 orang yang berpenyakit kulit. Akan tetapi, hanya seorang sahaja yang berpatah balik untuk mengucap terima kasih kepada-Nya. Yang lain telah hilang sekali, entah mana mereka pergi! Mungkin mereka balik kampung untuk berjumpa ibubapa mereka. Ataupun telah pergi merayakan persembuhan mereka di kedai kopi ataupun restoran dengan kawan-kawan. Ataupun pergi mencari seorang bini yang cantik untuk berkahwin. Ada banyak program mereka bolah jalankan. Tentu apa yang mereka buat setelah persembuhan adalah mustahak!

Akan tetapi, tiada suatu perkara yang lebih mustahak daripada bersyukur kepada Tuhan. Pada pendapat saya, sembilan orang ini tidak tahu ucap syukur kepada Tuhan, mereka adalah manusia yang tidak mengenang budi jika dibandingkan dengan anjing. Kita semua tahu anjing tahu  berterima kasih atas makanan yang diberikan oleh tuannya. Tetapi sembilan orang ini tidak tahu berucap syukur kepada Tuhan. Walaupun begitu, Yesus tidak maki mereka, Dia hanya mengeluh di depan orang ramai. Yesus berkata, “Bukankah sepuluh orang yang disembuhkan?  Di manakah yang sembilan lagi? Mengapakah orang bangsa asing sahaja yang kembali untuk bersyukur kepada Tuhan?”

Saudara saudari sekalian, sembilan orang itu adalah orang Yahudi, mereka ini ialah umat Tuhan, bangsa yang terpilih oleh-Nya . Sebenarnya, mereka telah tahu sejak nenek moyang dahulu bersyukur adalah kewajipan dalam kehidupan setiap hari. Akan teetapi, mereka tidak berbuat begitu. Adakah mereka ini berpendapat bahwa menerima berkat daripada Tuhan adalah percuma, suatu perkara yang biasa sahaja, suatu benda yang Tuhan harus bagi dalam kehidupan mereka. Tuhan bagi saya segala kebaikan, terimalah sahaja, jangan segan! Ini adalah suatu perangai yang tidak harus berlaku di kalangan umat-Nya!

Sebaliknya, pesakit kulit yang bukan Yahudi itu tahu bersyukur kepada Yesus setelah sakitnya disembuhkan. Ini adalah suatu perkara yang amat ganjil. Yesus memuji dia dan berkata, “Bangunlah dan pergilah, kamu sembuh kerana kamu percaya kepadaKu.” Orang ini bukan sahaja mendapat persembuhan badan, tetapi dia mendapat berkat yang amat besar daripada  Yesus sendiri. Ini bermakna orang asing ini mendapat berkat yang dua kali ganda, iaitu transformasi jasmani dan kekuatan iman. Berkat ini amat mustahak. Ia hanya diberikan kepada orang yang tahu bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan dan bukan untuk orang yang hanya mementingkan diri sendiri!       

Saudara saudari sekalian, bersyukur kepada Tuhan adalan satu kelakuan ataupun akhlak mulia (sifat baik) yang diajarkan di Alkitab kita. Harap kita semua akan melaksanakan akhlak mulia ini dalam kehidupan sebagai seorang Kristian. Kita bersyukur kepada Tuhan, sebab Dia adalah punca segala berkat kepada manusia. Ya, apa yang kita nikmati sekarang adalah dikurniakan oleh-Nya. Ini termasuk keluarga kita, anak-anak kita, pekerjaan kita, gaji kita, harta benda kita, rumah kita...ya segala-galanya termasuk juga masa, kesihatan dan nyawa kita. Semua ini adalah berkat dan kurnia daripada Tuhan.   


Sebagai satu respon kepada kasih Tuhan, kita harus ucap syukur melalui aksi ataupun tindakan kita. Banyak tindakan yang boleh dibuat seperti meluangkan masa untuk berdoa, membaca Alkitab dan memuji Tuhan setiap hari. Mengambil bahagian dalam pelayanan untuk Tuhan dalam gereja. Memberi sumbangan satu per sepuluh kepada gereja supaya Kerajaan Tuhan dapat dikembangkan, lebih banyak orang lagi dapat memasuki Kerajaan Tuhan. Hari ini, jika kita berhasrat mendapat berkat yang berkali ganda daripada Tuhan, janganlah ikut contoh sembilan orang yang dapat sembuh. Ikutlah contoh orang yang berpatah balik itu, yang tahu mengambil tindakan mengucap syukur kepada Tuhan. Akhirnya, dia mendapat berkat yang dua kali ganda. Semoga Tuhan Yesus membuka mata kita, supaya kita dapat lihat berkat yang tulin dan menghabiskan hayat kita untuk memperolehi hidup sejati dan kekal.